Header AD

Kisah di sebalik rumah papan usang di sebuah kebun getah

loading...
loading...
Kisah di sebalik rumah papan usang di sebuah kebun getah

TANAH MERAH - Rumah papan usang di pinggir sebuah kebun getah menjadi saksi bisu kepada kesusahan hidup sebuah keluarga tujuh beranak di Kampung Bukit Gading, dekat sini, sejak hampir enam bulan lalu.

Tanpa pendapatan tetap, pasangan Mariam Yahya, 33, dan Zainuha Ibrahim, 36, tiada pilihan selain menjadikan rumah kecil dan serba kekurangan itu tempat mereka sekeluarga berteduh.

Selain sering terputus bekalan makanan, keadaan lebih sukar kerana rumah itu tiada tandas menyebabkan mereka terpaksa menggali lubang setiap kali berhajat membuang air besar.

Kesulitan hidup keluarga miskin itu mula mendapat perhatian selepas anak kedua Mariam, Nur Kasrina Humaira, 2, cedera di kepala akibat terkena cangkul yang digunakan kakaknya, Isnin lalu.


Mariam bersama Nur Intan Kaisara (kiri) yang masih trauma dengan kejadian menimpa adiknya.

Mariam berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika seorang lagi anaknya, Nur Intan Kaisara, 9, sedang menggali lubang untuk membuang air besar berhampiran rumah mereka.

“Masa tengah gali lubang, Kaisara tak perasan adik dia yang ada dekat belakang tiba-tiba berlari ke depan, itu sebab kepala adiknya kena cangkul.

“Waktu itu, saya tengah susukan anak bongsu dalam rumah terus lari keluar bila dengar tangisan kuat,” katanya ketika ditemui di rumah berkenaan.

Tulang kepala anak retak

Mariam sebelum itu menerima kunjungan Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Pakatan Anak Tanah Merah (Pakat), Kamarulzaman Gan Chai yang menziarahi Nur Kasrina Humaira.

Dia memberitahu, dia dibantu jiran segera menghantar Nur Kasrina Humaira ke Klinik Kesihatan Bukit Gading sebelum dikejarkan ke Hospital Tanah Merah (HTM).


Kamarulzaman melihat kesan kecederaan pada kepala Nur Kasrina Humaira akibat terkena mata cangkul.

“Mula-mula kena, dia cakap merapu, kemudian tak sedarkan diri, jadi doktor pindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian,” katanya.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut di HUSM mendapati tulang kepala anaknya retak akibat hentakan mata cangkul dan selepas ini perlu menjalani rawatan susulan di hospital.

“Luka nampak kecil saja, cuma kena tiga jahitan tapi tulang kepala retak dan ada kesan lekuk. Dua malam juga kami di HUSM,” katanya.


Seorang anak Mariam menunjukkan cangkul yang mencederakan kepala Nur Kasrina Humaira.

Rayu bantuan siapkan rumah

Tentang tempat tinggalnya, Mariam berkata, rumah usang itu mula didiami awal tahun ini dan asalnya disewa sebelum dia sekeluarga dibenarkan menumpang secara percuma.

“Mulanya saya sewa dekat taman perumahan lepas pindah dari rumah mentua di Bendang Nyiur, tapi terpaksa pindah ke rumah sekarang sebab tak mampu bayar sewa,” katanya.

Ditanya bantuan diperlukan jika ada pihak sudi membantu, Mariam berharap pihak berkenaan dapat bantu menyiapkan rumahnya sendiri yang terbengkalai sejak lebih lima tahun lalu.

“Saya bina rumah sebelah rumah emak di kampung ini juga tapi dah lama berhenti bila suami kena kencing tikus.

“Sekarang suami saya hanya kerja ambil upah mengecat dan buruh kontrak buat rumah. Itu pun adakala tak cukup untuk belanja dapur,” katanya.

Sempena Ramadan ini, Mariam berkata, dia bernasib baik kerana terpilih menerima bantuan juadah berbuka untuk asnaf setiap hari daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Warga Kilang.

“Setiap petang, memang lauk nak berbuka puasa saya ambil di rumah dia,” katanya merujuk aktivis Warga Kilang di Kampung Bukit Gading, Zarina Nawawi.

Sementara itu, Kamarulzaman berharap ada pihak sudi membantu keluarga berkenaan terutama apabila memikirkan nasib tiga anak Mariam yang bersekolah.

“Bila berlaku kejadian ini, baru tahu dia (Mariam) sudah balik tinggal di kampung semula kerana sebelum ini mereka tinggal di Bendang Nyiur,” katanya.
Jangan Lupa Like Page Ini Untuk Mendapatkan Segala Berita Yang Paling Terkini!!
Kisah di sebalik rumah papan usang di sebuah kebun getah Kisah di sebalik rumah papan usang di sebuah kebun getah Reviewed by kak tie on 10:41:00 PG Rating: 5

Tiada ulasan