Header AD

Suami Menyesal Tak Sudah Silap Pilih Isteri Kaki Hutang

loading...
loading...
Suami Menyesal Tak Sudah Silap Pilih Isteri Kaki Hutang
ANUM gemar berbelanja melebihi kemampuan diri selain suka menggunakan kad kredit. – Gambar hiasan


SIAPA sangka, perkahwinan yang dibina selama 11 tahun akhirnya hancur, bukan kerana orang ketiga, sebaliknya akibat bebanan hutang si isteri yang terpaksa ditanggung suami.
Pahit, namun itulah hakikat yang terpaksa dilalui oleh Azlan (bukan nama sebenar) apabila perkahwinan yang dibina bersama isteri hanya dipenuhi derita selepas terpaksa membayar hutang wanita itu.
Selepas mengeluh panjang, Azlan mula membuka bicara tentang episod duka itu.
“Anum (bukan nama sebenar) merupakan teman sepejabat semasa saya mula-mula bekerja di Kedah pada tahun 2005. Semasa awal perkenalan, saya perasan gaya hidup Anum serba mewah dan sejujurnya, saya berasa sedikit gusar untuk mendekatinya.
“Namun, sikap merendah diri Anum akhirnya menambat hati saya dan kami berpacaran selama setahun sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin,” ujar Azlan.
Lelaki berusia 38 tahun itu mengakui amat bahagia semasa awal perkahwinan, namun mula risau melihat cara isterinya itu membelanjakan wang gaji setiap bulan.
Gemar berhutang
Menurut Azlan, Anum merupakan seorang eksekutif pentadbiran di sebuah syarikat swasta. Jika diikutkan, gajinya tidaklah besar mana tetapi semua barangan milik Anum berjenama mewah.
“Pada mulanya, saya sangka Anum berasal daripada keluarga berada, namun bapa mertua saya seorang pesara tentera, manakala ibu mertua pula suri rumah sepenuh masa.
“Kehidupan mereka serba sederhana, cukup berbeza dengan kehidupan Anum. Selepas diselidik, barulah saya tahu Anum gemar berbelanja menggunakan kad kredit selain ada mengambil pinjaman peribadi,” luah Azlan.
Anum cukup suka dilihat kaya dan sering berbelanja di luar kemampuan. Hampir setiap bulan, wanita berusia 35 tahun itu akan pergi bercuti ke negara pilihan lalu memuat naik foto percutiannya ke laman sosial agar terlihat kaya dan mewah.
Dia juga memandu sebuah kereta mewah dan beg tangannya juga mencecah harga puluhan ribu ringgit.
Azlan mula mengesyaki sumber kewangan isterinya dan bertanyakan hal tersebut kepada Anum. Isterinya hanya menjawab wang tersebut merupakan simpanannya semasa dia menjalankan perniagaan online ketika masih bergelar pelajar universiti.

SELEPAS diburu ah long, Anum meminta Azlan untuk menetap di rumah rakan mereka buat sementara waktu. – Gambar hiasan


Azlan percayakan isterinya dan enggan mencurigai wanita itu sehinggalah pada suatu hari, Azlan terjumpa penyata kad kredit isterinya dan meminta penjelasan Anum.
“Selepas diasak dengan pelbagai soalan, barulah saya tahu Anum gemar berbelanja menggunakan kad kredit selain ada membuat pinjaman peribadi,” luah Azlan.
Lelaki kelahiran sebuah negeri di selatan tanah air itu menasihati Anum supaya tidak lagi berbelanja mewah dengan menggunakan kad kredit kerana ia hanya akan membebankan wanita itu.
Begitu pun, Anum enggan mendengar nasihat suaminya dan dilihat berterusan berbelanja mewah, malah lebih buruk lagi wanita itu ada membuat pinjaman dengan ah long.
“Pada suatu hari, Anum pulang ke rumah dalam keadaan panik lalu menyuruh saya untuk mengemas pakaian saya. Katanya, dia mahu kami berdua tinggal di rumah kawannya untuk beberapa minggu.
“Rupanya, dia sedang melarikan diri daripada ah long selepas membuat pinjaman wang mencecah RM300,000. Saya terkejut dan turut sama ketakutan memikirkan bagaimana Anum mahu menyelesaikan hutang sebanyak itu,” luah Azlan.
Anum mula menebalkan muka meminta wang daripada semua ahli keluarganya dengan memberi pelbagai helah. Antaranya, termasuklah memberitahu kedua-dua ibu bapa Anum bahawa Azlan telah membuat pinjaman peribadi hanya kerana mahu menjaga nama baik dirinya sendiri.
Azlan mula hilang sabar kerana Anum tergamak memburuk-burukkannya di hadapan keluarga mertua.
“Sudahlah meminjam daripada ah long tanpa pengetahuan saya, kemudian memberitahu keluarganya bahawa sayalah yang telah meminjam wang dan gagal membayar kembali pinjaman tersebut,” ujar Azlan dengan marah.
Biarpun masih marahkan isterinya itu, Azlan tetap memberikan wang simpanannya kepada Anum untuk digunakan bagi melangsaikan hutang ah long.
Azlan turut menjual kereta dan beberapa barangan elektronik miliknya, namun wang tersebut masih belum mencukupi untuk melangsaikan kesemua hutang Anum memandangkan jumlahnya terlalu besar.
Jual rumah
Anum tanpa segan silu terus bertanya kepada Azlan tentang rumah pusaka arwah ibunya yang diwariskan kepada Azlan selepas wanita itu meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu.
“Saya amat terkejut apabila Anum tergamak meminta saya menjual rumah itu dengan alasan untuk menyelamatkan kami daripada menjadi mangsa buruan ah long.
“Memandangkan saya sendiri takut diapa-apakan oleh ah long, saya terus menjual rumah tersebut dengan perasaan berat hati. Saya menangis memikirkan ujian yang terpaksa ditanggung,” dedah Azlan.
Menurut Azlan, selepas urusan jual beli rumah itu selesai, dia membantu Anum melangsaikan hutang ah long dan semua hutang kad kredit serta pinjaman peribadinya yang lain.
“Sejujurnya, saya benar-benar rasa saya sudah tersalah memilih isteri. Perkongsian hidup bersama Anum hanya dipenuhi derita sehingga saya akhirnya mengambil keputusan untuk menceraikannya.
“Biarlah orang mahu menggelar saya bodoh kerana sanggup menjual rumah pusaka hanya kerana mahu membayar hutang isteri.
“Saya lakukannya kerana saya sayangkan bekas isteri dan walau apa pun yang terjadi, wanita itu adalah ibu kepada empat orang anak saya dan saya tidak tergamak membiarkannya menanggung bebanan hutang ah long seorang diri,” ujar Azlan menutup bicara.

Jangan Lupa Like Page Ini Untuk Mendapatkan Segala Berita Yang Paling Terkini!!
Suami Menyesal Tak Sudah Silap Pilih Isteri Kaki Hutang Suami Menyesal Tak Sudah Silap Pilih Isteri Kaki Hutang Reviewed by kak tie on 7:39:00 PTG Rating: 5

Tiada ulasan