‘Saya hendak cari duit untuk adik saya. Ini brownies yang saya jual. Saya seorang pekak. Jika hendak brownies ini berharga RM10.’


Alamak. Nak beli ke tidak? Ada 4 biji brownies. Itu yang saya fikir dalam hati. Akhirnya saya menolak dengan senyuman. Saya bukannya tidak mahu membantu tetapi betul ke tidak lelaki itu pekak? Betul atau tidak lelaki itu mahu tolong adiknya?


Macam-macam cara orang nak minta sedekah. Sebenarnya itu bukan kali pertama saya didatangi ‘peminta sedekah’ cara baru ini.

Sudah beberapa kali saya keluarkan duit sebab kasihan dan niat mahu menolong. Tetapi kalau setiap hari orang datang minta sedekah, saya takut nanti saya pula yang minta sedekah kerana duit sudah habis beri kepada mereka.


Saya pernah ditegur oleh seorang wanita Cina di Stesen KL Sentral. Wanita tersebut mengatakan dia belum makan. Melihatkan keadaan dirinya yang tidak terurus, rasa kasihan timbul. Terus saya keluarkan duit dan beri kepadanya dengan harapan dia akan makan.


Tetapi beberapa hari kemudian saya terserempak dengan wanita tersebut. Kali ini saya lihat dia sedang meminta sedekah kepada orang lain. Diam-diam saya mendekati. Terkejut saya mendengar ayat yang sama dia gunakan pada mangsa barunya. Sampai hati makcik itu menipu saya.


Bukan itu sahaja cerita saya. Pernah juga saya ditegur oleh peminta sedekah yang menggunakan nama persatuan dan rumah anak-anak yatim sebagai cara mencari duit. Sebab saya ini seorang wartawan, saya katakan padanya yang saya akan tolong dia tetapi beri nombor orang yang saya hubungi jika betullah dia dari persatuan dan rumah anak-anak yatim tersebut.


Saya katakan saya tidak akan beri duit kepada dia. Kalau dia beri nombor telefon, saya akan pergi ke persatuan dan rumah anak-anak yatim itu. Akhirnya ‘peminta sedekah’ ini terus berlalu dengan muka senyum terpaksa.


Bersedekah itu baik. Itu amalan yang dituntut dalam Islam. Tidak salah kita bersedekah tetapi sebelum mengeluarkan duit yang tidak seberapa itu, kita kena fikir juga tentang diri sendiri.  Dengan keadaan ekonomi tidak menentu, harga barang mahal, kos hidup semakin tinggi, kita perlu bajet setiap sen duit yang ada.


Jika mahu bersedekah tidak ada orang boleh memaksa kita. Bila-bila masa sahaja kita boleh bersedekah. Tetapi kalau hati kata tidak, jangan ada yang memaksa. Takut nanti pahala yang dikejar menjadi dosa.

Fikir-fikirkanlah!

Oleh:Julie Roshana Akma