GUANGXI - CHINA. Seorang lelaki pertengahan umur di selatan China dikurung di rumah lebih 30 tahun kerana ibu bapanya mengesyaki dia dirasuk hantu, lapor media tempatan.

Lelaki yang tidak dinamakan itu kini berumur 39 tahun dikurung di rumah keluarga di Beihai, wilayah Guangxi oleh ibu bapanya sendiri sejak kecil lagi.

Ibu bapa lelaki berkenaan mendakwa, dia menjadi tidak normal selepas lari dari rumah ketika berumur 6 tahun dan dibawa oleh orang yang tidak dikenali ke sebuah rumah berhantu, lapor portal Kankannews.com

Ibunya, Li Lianying memberitahu portal berita itu, selepas anak lelakinya itu pulang ke rumah, dia dan suaminya mengambil keputusan mengurungnya selepas dia mula berlari ke jalan raya dan makan makanan jiran.

Video yang mula tular baru-baru ini menunjukkan seorang lelaki dilihat menjerit melalui tingkap berjaring di kediaman itu.

Lelaki dengan wajah pucat dan berbadan kurus tinggal di dalam bilik gelap dan lembab.
Li berkata, dia dan suaminya menjaga segala keperluan anaknya itu dan tidak mempunyai pilihan lain selain mengurungnya di rumah.

Sebuah hospital dan pusat psikiatri tempatan bertindak campur tangan dan membantu lelaki itu.