Header AD

Nasi Dagang Kuala Rompin Sesedap Nasi Dagang Ibu

loading...
loading...
Nasi Dagang Kuala Rompin Sesedap Nasi Dagang Ibu

NASI dagang bukanlah makanan asing di negara ini, malah ia cukup digemari segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

Namun makanan yang lebih sinonim dengan negeri Terengganu itu memiliki keunikannya tersendiri di Kuala Rompin, Pahang.


Jika dilihat bungkusan luarannya, nasi dagang daun simpul Kak Teh yang dijual di lot gerai di Bandar Lama Kuala Rompin, di sini, ia dilihat biasa sahaja, namun mungkin kelihatan pelik kerana dibungkus dengan daun berwarna hijau bersaiz besar.


Persepsi itu pastinya berubah sebaik merasai suapan pertama nasi dagang yang dikukus dengan santan kelapa berlaukkan gulai ikan tongkol ini kerana aromanya harum dan membangkitkan selera.


Maka tidak hairanlah sekiranya nasi dagang disediakan Chik Long, 60, atau lebih mesra dengan panggilan Kak Teh menjadi pilihan orang ramai termasuk pelancong dari luar negara antaranya Singapura dan Jepun.


Kak Teh berkata, arwah ibunya mendapat idea membungkus nasi dagang dengan daun simpul kerana ia kelihatan cantik.


“Apabila saya berniaga, saya cuba jualnya di Rompin dan orang di sini pun suka. Sambutannya amat baik. Saya hanya perlu berniaga tiga jam sehari iaitu bermula jam 6 pagi bagi jualan hidangan sarapan saja.


“Awal pagi dah ada ramai pembeli terutama pekerja pejabat dan guru yang membawanya ke tempat kerja. Sebagai peniaga saya gembira melihat kepuasan di wajah pelanggan,” katanya yang dibantu ahli keluarganya dalam menjalankan perniagaan.



Resipi arwah ibu menjadi

Kak Teh yang sudah menjalankan perniagaan menjual nasi dagang daun simpul sejak 40 tahun lalu tidak menyangka sambutan orang ramai terhadap resipi arwah ibunya, Chik Puteh Abdullah sangat baik.


Menurutnya, orang ramai suka dengan aroma nasi dagang yang harum kerana dibungkus dengan daun simpul menyebabkan selera makan bertambah, berbanding jika dihidangkan di pinggan biasa sekali gus menjadi tarikan utama orang ramai ke gerainya.


Bukan sekadar digemari masyarakat atau pelancong tempatan, ia juga digemari pelancong asing yang akan berkunjung ke gerainya sekiranya mereka datang memancing di perairan Kuala Rompin.


“Ada pelancong dari Singapura dan Jepun yang makan nasi dagang daun simpul beritahu tak boleh melupakannya, apabila datang Rompin pasti mereka singgah untuk makan kat sini lagi serta ambil gambar,” katanya.


Sementara itu, anak lelaki Kak Teh, Yuswadil Isma Mohd Razali, 35, turut berkongsi petua atau panduan bagi memetik daun simpul yang tidak boleh dilakukan ketika hujan.


“Ia akan menyebabkan daun simpul mudah rapuh. Jadi sebaiknya kalau hendak mencari dan memetiknya, lebih baik dilakukan pada cuaca cerah.


“Pada masa ini agak mudah mencari daun simpul di Rompin dan ia boleh dicari di kawasan berpaya, seperti contoh di Kampung Perepat ini (Rompin) selain beberapa lokasi sepanjang jalan ke Muadzam Shah,” katanya yang memetik kira-kira 200 daun simpul setiap kali turun mencari.
Jangan Lupa Like Page Ini Untuk Mendapatkan Segala Berita Yang Paling Terkini!!
Nasi Dagang Kuala Rompin Sesedap Nasi Dagang Ibu Nasi Dagang Kuala Rompin Sesedap Nasi Dagang Ibu Reviewed by kak tie on 5:57:00 PG Rating: 5

Tiada ulasan