JENAMA Milo adalah produk yang sangat sinonim untuk setiap rakyat Malaysia kerana ia mempunyai kebaikan yang sempurna.

Milo merupakan minuman yang kita semua boleh menikmatinya pada setiap waktu, tidak kira pagi, tengah hari mahupun malam.

Baru-baru ini, Milo berbentuk kiub atau Milo cube menjadi tular di laman sosial, khususnya Facebook yang menjadi tarikan pengguna.

Milo cube adalah Milo berbentuk coklat bar atau dikenali sebagai kiub tenaga Milo dan choco Milo.

Ramai pengguna tertarik kerana tidak pernah melihat Milo dalam bentuk itu, sehingga menyebabkan ia menjadi popular di kalangan pengguna dan peminat minuman berkenaan di negara ini.

Sebelum ini, Milo cube hanya boleh didapati di Nigeria, Ghana, United Kingdom (UK) dan beberapa negara terpilih.

Sesuai untuk sarapan

Bagi Pauzi Seman, 49, Milo cube sesuai diambil bagi individu yang tidak sempat bersarapan.

"Setiap individu perlu membawa Milo cube di mana-mana kerana ia senang dibawa dan boleh diambil ketika perut kosong.

"Jika tidak sempat bersarapan, ia sangat sesuai dimakan kerana ia mempunyai khasiat yang sama dengan Milo iaitu memberi tenaga," katanya yang mengenali Milo cube menerusi Facebook sejak sebulan lalu.

Menurutnya, Milo cube sangat diminati oleh kanak-kanak kerana rasanya yang sedap.

Katanya, golongan dewasa boleh mengambilnya bagi menggantikan gula-gula dan coklat.

Pauzi juga mencadangkan bahawa Milo cube sesuai diambil oleh individu yang ingin berhenti merokok.
"Milo cube  tidak manis, walaupun sedikit keras tetapi ia akan cair di dalam mulut seperti coklat lain.

"Cuma, rasanya adalah Milo," katanya yang turut menjual Milo cube  di sekitar Kelantan.

Mengulas mengenai bentuknya, Pauzi berkata, Milo cube  mempunyai saiz sebesar buah dadu dan sepaket mengandungi 100 kiub.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, Siti Faridah Arif berkata, dia berpendapat bahawa Milo cube  itu boleh menjadi kegemaran orang ramai seperti mana jenama Milo yang ada di dalam pasaran tempatan.
"Tetapi kerana ia dijual secara atas talian (online) agak sukar untuk mendapatkannya.

"Kalau ada di pasar raya tidak menjadi masalah untuk orang ramai membeli dan mungkin harganya jauh lebih murah," katanya.

Menurutnya, dengan kekuatan jenama Milo di pasaran tempatan, Milo cube  sudah pasti boleh diterima oleh masyarakat tempatan.

Sambutan menggalakkan

Sejak Milo cube  menjadi viral di laman sosial akhir Disember tahun lalu, jualan Milo cube  oleh Nuriesa Global Enterprise mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Nuriesa Global Enterprise merupakan salah satu pembekal Milo cube  di Malaysia yang diusahakan oleh Noresah Abd Khalid.

Menurutnya, dia menjual Milo cube  sejak tiga bulan lalu dengan mendapatkan bekalan terus 100 peratus dari Nigeria
.
Katanya, sambutan pengguna adalah sangat baik dari seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.
"Kami juga ada menjual kepada pelanggan di Singapura.

"Setakat ini, kami mampu menjual purata 100 hingga 200 karton menerusi jualan berasingan mahupun secara borong," katanya yang mempromosikan produk menerusi Facebook, Milo Cube Murah.

Menurutnya, setiap paket mengandungi 100 kiub dan dijual dengan harga pasaran RM45.
Katanya, jika membeli dengan harga borong adalah lebih murah.

"Milo cube  sangat berbeza dengan Milo yang ada di pasaran tempatan dan ia sangat sesuai diambil untuk menambahkan tenaga.

Mengulas lanjut berhubung sejauh mana Milo cube  boleh dijual, katanya, produk trend ini hanya mampu bertahan selama setahun bergantung kepada permintaan.

"Saya tidak jual satu produk sahaja, saya jual produk yang mampu menjana pendapatan kepada saya.
"Saya tidak tahu berapa lama Milo cube  akan menjadi kegemaran orang ramai di negara ini," katanya.