FRESNO - CALIFORNIA. Polis di bandar ini sedang cuba mengesan identiti seorang wanita yang mendakwa dirinya sebagai 'ikan duyung'.

Memetik laporan antarabangsa, Metro.co.uk, wanita itu yang hanya dikenali sebagai Joanna ditemui merayau seorang diri sekitar awal pagi di jalanan.

Joanna ditemui hampir separuh bogel, mendakwa dirinya baru sahaja keluar daripada tasik yang didiami selama ini.

Pihak polis berkata, Joanna tidak dapat menjawab kesemua soalan lazim yang ditanyakan pihaknya.

"Sewaktu ditemui, dia berada dalam keadaan basah, dia kelihatan seperti memerlukan pertolongan dan perlu dibawa ke hospital," kata sumber dari Jabatan Polis Fresno.

Dalam masa sama, polis turut mengambil cap jari bagi mengesan identitinya, namun sehingga kini masih gagal menemui padanan yang sama.

Sebaran gambar Joanna telah dilakukan bagi mempercepatkan proses pengecaman Joanna.
Joanna mendakwa dirinya sebagai ikan duyung yang baharu keluar dari tasik di Fresno.