AMAZON - BRAZIL. Seorang pelancong Chile, yang tersesat di dalam hutan hujan Amazon selama sembilan hari, mendakwa sekumpulan monyet membantu dia untuk meneruskan hidup dengan menjatuhkan makanan kepadanya.

Monyet juga membawanya ke tempat perlindungan dan kawasan punca air.

Memetik laporan daily Mail, Maykool Coroseo Acuna, 25, pada awalnya telah berkhemah di Taman Negara Madidi berhampiran Sungai Tuichi namun tanpa dia sedar, dia rupa-rupanya telah tersesat tatkala cuba 'berjalan-jalan'.

Acuna disedari hilang pada malam Februari lalu kira-kira jam 8:30 malam.

Menurut renjer hutan selepas menyedari kehilangan Acuna, pihak mereka telah menghabiskan beberapa hari mencarinya tetapi tidak berjaya.

Enam hari selepas kehilangannya, seorang dukun telah dijemput untuk berusaha bersama-sama mengesan Acuna.

Selepas masuk hari ke sembilan selepas kehilangannya, renjer mendengar Acuna menjerit dari tebing sungai yang kurang daripada satu batu daripada kem khemah yang dia tinggal.

Ketika ditemui badan Acuna dipenuhi dengan kesan gigitan dan luka.
"Acuña jelas kelihatan teruja, walaupun 'bertindak sedikit pelik'," kata jurucakap renjer dan menambah bahawa mukanya 'tidak kelihatan normal'.

Difahamkan Acuna 'tersesat' kerana tidak mengikuti satu upacara bagi menghormati kawasan berkenaan.