Header AD

Seni Tempah Bahaya Korea Utara:Sebelas Rakyat Malaysia Dijadikan Tebusan Untuk Mayat Jong-nam?

loading...
loading...

Seni Tempah Bahaya Korea Utara:Sebelas Rakyat Malaysia Dijadikan Tebusan Untuk Mayat Jong-nam?



Agak sedikit mengejutkan apabila Korea Utara bertindak agak jauh dengan menahan 11 orang rakyat Malaysia yang berada di sana. Penahanan ini pantas mendapat reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang mengecam tindakan Korea Utara ini. Beliau menyifatkan tindakan ini sebagai satu pencabulan undang-undang antarabangsa dengan menjadikan orang yang tidak bersalah sebagai tahanan.
Impaknya, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Mohd Najib menerusi akaun Twitter milik beliau tengah hari tadi, beliau telah mengarahkan semua warga Korea Utara dihalang untuk keluar dari negara ini sehingga satu tempoh yang akan diberitahu kelak. Ini adalah tindakan paling keras dilakukan oleh Malaysia semenjak pencerobohan Tentera Merah Jepun (JRA) menawan bangunan AIA pada tahun 1975.
Melihat akan situasi terkini ini, mungkin dapat disimpulkan bahawa ada kemungkinan, tindakan Pyongyang ini tidak lebih dari sekadar mecetuskan satu polemik baru dalam urusan dua hala. Seperti sedia maklum, kerajaan Korea Utara menuntut mayat Kim Jong-nam diserahkan kepada pihak mereka untuk siasatan. Namun begitu, bagi Malaysia, ianya merupakan satu tuntutan yang tidak mungkin akan dipenuhi.
Ini kerana, menurut undang-undang Malaysia, sebarang kejadian jenayah termasuk pembunuhan, haruslah disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia tanpa ada sebarang campur tangan asing. Malah, proses untuk menuntut mayat juga harus dilakukan oleh waris si mati, bukan boleh sewenang-wenangnya diserah kepada mereka yang langsung tidak ada kena mengena dengan si mati.
Inilah yang sangat dituntut oleh Korea Utara sehingga mengundang pelbagai dakyah dan tuduhan yang dilemparkan oleh Korea Utara menerusi bekas Duta Besarnya ke Malaysia, Kang Chol. Semalam, Kang Chol telah selamat meninggalkan Malaysia tanpa sedikitpun memberikan kerjasama kepada pihak PDRM untuk melicinkan siasatan dan mendakwa mereka yang terlibat.
Melihat kepada ketegasan Malaysia dalam hal ini, kerajaan Korea Utara mungkin berasa tercabar. Ini kerana segala tuntutan mereka tidak dilayan oleh Malaysia dan paling mengejutkan, buat kali pertama, sebuah negara bertindak menghalau dutanya keluar. Mungkin atas sebab inilah, Korea Utara bertindak menahan 11 orang rakyat Malaysia untuk dijadikan tebusan.
Pada perkiraan Korea Utara, dengan penahanan 11 orang rakyat Malaysia ini, Malaysia akan tunduk kepada desakan Korea Utara dengan menyerahkan mayat Kim Jong-nam kepada mereka. Jika ini berlaku, Malaysia telah melanggar undang-undangnya sendiri dan memperlihatkan pendirian negara boleh berubah mengikut keadaan.
Walaupun sehingga kini, masih belum ada sebarang tuntutan khas dibuat oleh Pyongyang, namun dari cara mereka dapatlah dibuat kesimpulan, situasi ini boleh ditakrifkan sebagai penahanan diplomatik bagi menuntut sesuatu atau dalam bahasa mudahnya, 11 orang untuk 1 mayat. Mungkinkah semua ini berlaku? Jika dinilai dari situasi, inilah gambaran yang hampir tepat keadaan yang berlaku sekarang.

Seni tempah bahaya Korea Utara


SEOUL: Larangan perjalanan yang dikenakan Pyongyang ke atas rakyat Malaysia yang mahu meninggalkan Korea Utara menaikkan ketegangan hubungan dengan Kuala Lumpur – tetapi itu hanyalah salah satu daripada episod terbaharu permainan tempah bahaya diplomasi negara terpencil itu.
Kerajaan autoritarian dan bersenjata nuklear itu mempunyai sejarah panjang menggunakan orang asing – terutamanya pelancong Amerika Syarikat dan pendakwah – sebagai taruhan dalam rundingan nuklear atau rundingan bantuan dengan AS.
Negara terpencil itu juga selalu menutup sempadannya bila berdepan ancaman kesihatan dari luar, atau sebagai bantahan apabila berlaku ketegangan ketenteraan dengan Korea Selatan, walau apa pun akibatnya.
Berikut antara langkah yang pernah diambil Korea Utara:
Tebusan warga AS:
Sejumlah rakyat AS ditahan dan dipenjarakan kerana perbuatan jenayah, termasuk bersikap bermusuhan dan aktiviti keagamaan secara haram, untuk bertahun lama.
Ramai dibebaskan selepas kunjungan pimpinan AS, termasuk bekas presiden Jimmy Carter dan Bill Clinton, tetapi 2 masih berada di sana apabila hubungan antara Pyongyang dan Washington dibekukan.
Otto Warmbier, seorang pelajar kolej berusia 22 tahun, tahun lepas dijatuhkan hukuman kerja berat selama 15 tahun kerana mencuri bahan propaganda. Kim Dong Chul, seorang pastor etnik Korea dipenjarakan atas tuduhan menjalankan kerja risikan.
Ebola:
Tidak banyak pelancong melawat Korea Utara, tetapi sempadan negara itu ditutup selama lebih 4 bulan bermula Oktober 2014 dalam usaha menyekat kemasukan virus Ebola – sedangkan tiada kes dilaporkan di Asia.
Ia kemudian menguatkuasakan tempoh kuarantin 21 hari ke atas mana-mana orang yang memasuki negara itu, termasuk diplomat asing dan ahli perniagaan.
Pelancongan menjadi sumber mata wang yang penting untuk negara itu, tetapi kerajaannya, dengan prasarana kesihatan yang lemah dan kekurangan bekalan ubat, nampaknya lebih sedia menanggung kerugian kewangan.
Apabila Korea Selatan mengalami letusan Sindrom Respiratori Timur Tengah, atau MERS, yang terbesar di dunia, pada 2015, Korea Utara dilaporkan menghalang diplomat dan pekerjanya yang berada di luar negara dari pulang selama berbulan bagi menghalang penyebaran virus itu.
Pyongyang juga menggantung kunjungan luar negara selama 3 bulan kerana bimbang ancaman SARS pada 2003.
Projek usahasama Korea Selatan:
Kompleks perindustrian Kaesong – di mana lebih 100 syarikat Korea Selatan mengambil 50,000 kakitangan Korea Utara bekerja dalam projek rekonsiliasi antara kedua negara – mengalami beberapa masalah politik selepas ditubuhkan pada 2004, dan akhirnya ditutup pada 2016.
Pyongyang secara tiba-tiba mengundurkan semua pekerjanya pada April 2013 bagi membantah latihan ketenteraan bersama antara Seoul dan Washington, dan mengarahkan semua pengurus warga Korea Selatan meninggalkan kawasan itu dengan segera.
Kebanyakan pengurus Korea Selatan sempat meninggalkan negara itu, tetapi 7 diarah tinggal sehingga baki gaji pekerja Korea Utara dibayar, menimbulkan kebimbangan mereka dijadikan tebusan.
Kumpulan itu akhirnya dibenarkan pulang hampir sebulan kemudian, selepas Seoul menghantar konvoi membawa wang tunai lebih AS$10 juta merentasi sempadan.
Kompleks meneruskan operasi pada September 2013, tetapi Seoul tahun lepas mengisytiharkan projek akan ditutup bagi menghukum Pyongyang kerana menjalankan ujian peluru berpandu dan nuklear.
Keesokannya Korea Utara menghalau semua pengurus warga Korea Selatan dan membekukan semua aset Korea Selatan dalam zon itu.
LAWAK ANTARABANGSA
Saya ingat Kim Jong-un (pemimpin Korea Utara) dah kira manusia paling lawak di dunia, rupanya ada yang lebih lawak daripada itu. Mengapa saya kata begitu?
Sebelum itu, mari kita “rewind” dulu pasal drama “Attack on Kim Jong-nam” ini. Kes dia macam ini: Kim Jong-nam abang Kim Jong-un dibunuh di KLIA. Polis Malaysia mahu melakukan bedah siasat. Kedutaan Korea Utara tak bagi, nak tuntut balik mayatnya. Pendirian polis kita ialah sila ikut prosedur Malaysia. Tak puas hati punya pasal, Duta Korea Utara iaitu Kang Chol mempertikaikan undang-undang Malaysia. Maka Malaysia mengisytiharkan Kang Chol sebagai “persona non grata” (orang yang tidak dihargai), dengan arti kata lain, halau. Korea Utara pula membuat pengumuman bahawa rakyat Malaysia (ada dalam 11 orang, kebanyakan kakitangan di Kedutaan Malaysia di Pyongyang) tidak dibenarkan meninggalkan Korea Utara.
Adakah Malaysia berhak untuk mengisytiharkan Duta Korea Utara sebagai “persona non grata”? Ada. Ia telah diperuntukkan dalam Artikel 9, Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961. Yang bersalah dalam hal ini ialah Korea Utara kerana 11 rakyat Malaysia yang berkhidmat dalam Kedutaan (9 orang) dan World Food Programme (2 orang) ditahan itu mempunyai kekebalan diplomatik (“diplomatic immunity”). Dalam undang-undang antarabangsa, diplomat hanya boleh dihalau, tidak boleh ditahan.
Dari permulaan drama ini Malaysia telah bertindak mengikut undang-undang dan norma antarabangsa. Namun, bedah siasat akan mendedahkan kebenaran tentang kematian misteri Kim Jong-nam. Kedegilan Korea Utara dalam memberi kerjasama seolah-olah memberi tanda ada udang di sebalik mee Jajangmyeon.
Apa yang Korea Utara buat sekarang ialah “blackmailing” (peras ugut). Ini bukan kali pertama. Tanyalah jiran Korea Utara iaitu Korea Selatan dan Jepun sudah berapa kali diperas ugut olehnya. Di tahun 2009, Korea Utara juga menahan dua orang wartawan Amerika Syarikat, dan mereka hanya dibebaskan selepas bekas presiden Amerika, Bill Clinton melawat Pyongyang untuk rundingan rahsia.
Dengan menjadikan rakyat Malaysia sebagai tebusan (“hostage”), rejim samseng Korea Utara berharap dapat menebus balik mayat Kim Jong-nam yang mengandungi kebenaran yang mereka cuba sembunyikan. Malaysia tidak mencari pasal dengan Korea Utara, Korea Utara yang mencari pasal dengan kita. Kalau kali ini Malaysia membenarkan Korea Utara membawa balik mayat sesuka hati, apa yang bakal terjadi selepas ini? Orang asing datang membunuh rakyatnya dan membawa balik?
“Battle of the wills” ini menguji siapa yang mengalah terlebih dahulu. Dalam hal ini, orang asing sedang memijak kepala kita kerana kita mempertahankan hak kedaulatan kita, jadi kita harus bersatu sebagai rakyat Malaysia yang bermaruah, bukan memperlekehkan kerajaan sendiri. Kalau di saat ini pun anda masih mahu menjadi zombie politik, mohon berpindah ke Korea Utara.
Dalam drama kali ini, ada sebuah aktor yang nampak berdiam, iaitu China. Sebenarnya China mengalami dilema di antara Korea Utara dan Malaysia: China melihat Malaysia sebagai rakan strategik di rantau Asia Tenggara, namun pada masa yang sama Korea Utara ialah bidak penting dalam percaturan geopolitik Asia Timur. Kalau China menyokong Korea Utara, Malaysia akan tersinggung. Kalau China menyokong Malaysia, Korea Utara pula akan tersinggung. Jadi lebih baik China berdiam.
Tahun 1981, tiga kakitangan Kedutaan Soviet Union diisytiharkan sebagai “persona non grata” kerana disyaki mengintip. Dengar, Soviet Union itu. Malaysia pun tidak gentar. Apatah lagi Korea Utara.
“Ha ha ha… tengok, ada orang Malaysia kutuk kerajaan sendiri disebabkan masalah yang kita timbulkan. 바보 (babo)!” Kata seorang ajumma yang sedang menonton berita TV dalam rumahnya di Pyongyang.
Siapakah lawak antarabangsa sekarang?
Jangan Lupa Like Page Ini Untuk Mendapatkan Segala Berita Yang Paling Terkini!!
Seni Tempah Bahaya Korea Utara:Sebelas Rakyat Malaysia Dijadikan Tebusan Untuk Mayat Jong-nam? Seni Tempah Bahaya Korea Utara:Sebelas Rakyat Malaysia Dijadikan Tebusan Untuk Mayat Jong-nam? Reviewed by kak tie on 8:21:00 PG Rating: 5

Tiada ulasan