Saturday, 25 March 2017

Misteri Jalan Jemaluang-Mersing

loading...
Misteri Jalan Jemaluang-Mersing

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca FS. Terima kasih kepada admin FS jika sudi publish cerita ketiga aku ini. Entri aku sebelum ini adalah berkenaan pengalaman yang aku alami di tempat kerja aku.
Kisah kali ini aku nak kongsi satu lagi titik-titik pengalaman di luar skop likungan tempat kerja aku. Cerita kali ini sebenarnya berlaku secara langsung kepada salah seorang rakan baik aku. Aku cuma memainkan watak sampingan sahaja dalam cerita ini. Hahahahaha.
Baiklah, latar belakang cerita. Al-kisahnya aku bersama dua rakan baik aku Apis dan Wany telah membuat satu perancangan untuk jalan-jalan ke Mersing. Sebelum apa-apa ingin aku perkenalkan secara ringkas mengenai dua orang rakan baik aku ini. Apis dan Wany merupakan rakan aku sejak aku menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor. Apis dan Wany ini merupakan rakan satu kursus dengan aku. Masing-masing dah kenal lama dan dah masak dengan perangai gila-gila setiap orang. Kami juga selalu melakukan aktiviti bersama, lepak sama-sama dan macam-macam lagilah.
Sebenarnya ada lagi rakan-rakan yang lain yang kami rapat cuma aku hanya fokus pada Apis dan Wany sahaja kerana mereka merupakan peranan utama dalam cerita ini. Hihihihihi. Wany ini perempuan, asal orang Kedah. Orangnya ‘easy going’, ‘sampoi’, dan lasak. Apis pula orang Perak, orangnya suka menyakat dan ada ‘six sense’ sikit..hahahaha..hubungan kami agak rapat sehinggalah tamat pengajian. Sampailah ke alam pekerjaan pun kami masih rapat, dan untuk pengetahuan semua, kami semua sekarang bekerja di Johor.
Kami selalu sangat lepak bersama, tengok wayang, berjalan sana-sini. Maklumlah semuanya bujang (waktu ini Apis masih tunangan orang, sekarang dah kahwin dah). Namun masing-masing tahu jaga batasan masing-masing dalam pergaulan. Jangan pula you all anggap kami semua ini sosial…hahahahahaha..
Baiklah, berbalik kepada cerita asalnya tadi. Seperti biasa, jika ada waktu terluang kami suka sangat plan berjalan-jalan. Pergi KL lah, pergi Melaka lah, pergi Bukit Tinggi lah, buat majlis makan-makan lah. Cuma yang kali ini aku ingin kongsikan pengalaman kami bertiga yang pernah buat plan jalan-jalan ke Mersing. Kami bercadang untuk ke Mersing sambil buat BBQ di sana. Bawa ayam yang diperap siap-siap.
So bila dah plan nak berjalan sambil bawa bekal tu, masing-masing sibuklah prepare mana yang patut. Dari hal beli ayam dan bahan-bahannya, sehinggalah kepada proses memerap. All members give a good cooperation. Kami bercadang untuk bertolak lewat malam. So akan sampai ke Mersing awal pagi. Nak ke Mersing ni kami perlu melalui area Ulu Tiram, Kota Tinggi, Jemaluang dan terus ke Mersing. Kami pergi dengan sebuah kereta Proton Persona  milik Apis.
Lokasi pertama sebelum kami bertolak ada rumah mak cik Apis di Skudai. Sebelum memulakan perjalanan aku lepak di rumah mak cik Apis dahulu menghabiskan waktu senggang. Kebetulan tiada sesiapa di rumah mak ciknya. Hanya Apis seorang sahaja. Jadi aku tidaklah segan sangat untuk lepak-lepak dulu. Hahahaha. Setelah beberapa waktu berlalu, seingat aku selepas jam 12 malam macam tu atau sekitar jam 1 pagi…argh..tak ingatlah pulak aku jam berapa exactly..yang pastinya aku dan Apis memulakan perjalanan selepas jam 12 malam. Apis memandu kereta Personanya dan kami terus melulu ke rumah sewa Wany yang terletaknya di Senai.
Untuk pengetahuan semua, aku ni orangnya bukanlah berani sangat. Agak penakut juga. Huhuhu. Sewaktu perjalanan, Apis yang memandu kereta, Wany co-pilot, aku pula di tempat duduk belakang di belakang Wany. Sementara, periuk kecil yang berisi ayam ada di sebelah kanan aku di lantai kereta.
Apis memandu sambil berborak rancak dengan Wany. Sementara radio terpasang. Agak rancak Apis berbual dengan Wany dan makin lama makin aku perasan topik yang mereka bincangkan. Jika tak salah aku, mereka berbincang pasal cik lang atau pun dengan kata lain pasal topik langsuir.
Kau gila malam-malam buta macam ni duk buka cerita benda tu. Pulak tu kami ni dalam perjalanan ke Mersing yang melalui jalan Jemaluang. Kepada mereka yang tidak tahu dan juga kepada mereka yang tahu, jalan Jemaluang ini terkenal dengan bermacam penampakkan. Kat area sini ada kubu-kubu British sewaktu perang dunia ke dua dulu. Kubu-kubu ini gunanya untuk menangkas serangan dari pihak tentera Jepun di Malaya suatu ketika dulu.
Kubu-kubu ini letaknya di tepi-tepi jalan. Jika tidak silap aku, ada orang pernah cakap ternampak sesuatu di atas kubu tersebut. Alhamdulillah aku tak pernah nampak lagilah.  Pulak tu jalan Jemaluang ni pada waktu malam, nauzubbilah…gelapnya yang amat. Jalannya cuma dua line. Jalannya lurus memanjang dan sekali sekala ada bengkang bengkoknya. Kiri kanan mostly hutan dan semak. Lampu jalan tiada.
Hanya mengharapkan lampu kereta sendiri dan kenderaan lain sahaja yang memecahkan kegelapan di kawasan itu. Seperti yang aku beritahu sebentar tadi, aku ni agak penakut. So bila dengar si Apis duk buka cerita pasal benda tu, aku pun tegurlah. Eh..bukan nak didengarnya, boleh pulak si Apis ni pergi perlahankan radio tiba-tiba (dengan kata lain dia memang sengaja nak suruh aku dengar juga cerita dia tu..adoi..memang saje nak menyakat aku).
Aku agak runsing ketika itu sebab memikirkan takut-takut perkara buruk yang akan terjadi. Dah lah lalu jalan gelap gulita, kereta pun tak banyak, waktu pulak pada masa itu boleh tahanlah juga awal paginya, kita pula tengah memandu sambil duk bercerita perihal benda-benda tu. Risau jugalah aku ni. Takut jadi apa-apa.
Tidak lama selepas itu sewaktu perjalanan, kereta kami melalui satu kawasan kemalangan. Kawasan kemalangan tersebut seolah-olah baru berlaku. Melalui kawasan tersebut, kami tidak ambil pusing sangat. Just tengok dan tegur macam tu jelah. Apis meneruskan perjalanannya seperti biasa. Kemudian, tidak lama selepas itu, kami sedikit terganggu dengan kenderaan dan lori dari arah yang bertentangan dengan kami. Kebanyakan mereka memberikan signal lampu tinggi (klip-klip) pada kami. Pada mulanya firasat Apis ada roadblock di hadapan. Namun setelah di amati, Apis berasa sedikit pelik dan ada rasa tidak sedap hati. Maka si Apis ni mulalah menyiasat..
Mulanya sambil memandu tu, Apis melihat cermin pandang belakang…tiada apa-apa..ok tiada apa yang meragukan. Semestinya ketika ini mestilah dia nampak muka aku di belakang. Kemudian Apis melihat cermin pandang tepi sebelah kiri..alamak !!!! Pun tiada apa-apa juga.. Seterusnya Apis melihat cermin pandang sisi sebelah kanan. Damn !!!!! Apis melihat sesuatu !!!!!
Kali ini pandangan Apis betul-betul tertumpu pada sudut tersebut. Terkedu barangkali namun masih mampu di kawal. Kawalan kereta yang di pandu Apis masih baik. Apis diam tidak berkata apa-apa. Ketika ini aku dan Wany hanyalah boneka penumpang….langsung tidak mengetahui  dan tidak sedar akan apa yang berlaku. Apis masih memandu kereta Persona itu dengan kawalan terbaiknya.
Kemudian Wany perasan Apis secara tiba-tiba mengengam handphonenya. Firasat Wany sedikit bercelaru dan berbaur pelik. Hati Wany terdetik, tak akanlah tunangan si Apis tak tidur lagi waktu-waktu macam ni, boleh pulak si Apis ni main-main mesej sambil-sambil bawa kereta.
Dengan secara tiba-tiba Apis memberikan handphonenya pada Wany. Wany tanpa menunggu lama terus meneliti apa yang ditaip oleh Apis ketika itu. Apis memberi pesan, jangan pandang belakang sebelah kanan. Sebab ada benda sedang ikut kita. Apis pesan lagi, jika tertoleh pun minta buat seolah-olah tidak tahu sahaja.
Wany terkejut dan terus tidak tentu arah selepas membaca mesej tersebut. Hanya pandangan hadapan sahaja yang menjadi tumpuan Wany ketika itu. Ketika kejadian itu, aku langsung tidak tahu bahawa ada satu drama yang sedang berlaku di antara Wany dan Apis. Aku dengan dunia aku sendiri di tempat duduk belakang bertemankan periuk kecil yang berisi ayam yang diperap. Tidak tahu bahawa ada sesuatu menumpang di sisi aku.
Apis meneruskan perjalanannya seperti biasa, dan sewaktu perjalanan tersebut, tiba-tiba ada sesuatu yang bagi aku sedikit pelik berada di hadapan. Aku nampak ada satu gugusan kabus tebal berada rapat dengan lantai jalan raya dan kedudukannya adalah di tengah-tengah jalan. Tidak pastilah pulak kalau-kalau kabus tersebut sedang bergerak dari satu sudut ke sudut yang lain. Tapi kedudukan kabus tebal itu pada waktu tersebut memang di tengah-tengah jalan. Aku pulak yang perasan akan keadaan itu terus menegur akan sosok kabus tersebut. Si Apis dan Wany ni sampai ke sudah tidak cakap apa-apa kepada aku yang adanya penumpang lain di sisi kereta.
Selepas kami melalui kabus tersebut atau dengan kata lain melanggar gugusan kabus itu, Apis sekali lagi mencapai handphonenya dan menulis sesuatu. Lalu diberikan sekali lagi handphonenya pada Wany. Apis cakap itu bukan kabus, benda itu dah nak tunjukkan dirinya yang sebenar. Assebab aku ada menegur tadi. Aku yang sebenarnya tidak terlalu jelas dengan keadaan yang berlaku pada waktu itu sementelah aku tidak pernah melihat mesej-mesej yang Apis tulis pada malam tersebut. Hanya Wany seorang sahaja yang membaca mesej-mesej Apis ketika itu. Isi kandungan mesej-mesej tersebut diceritakan semula oleh Wany kepada aku.
Wany juga memberitahu kepada aku bahawa benda itu memang ikut agak rapat ketika itu. Itu yang Wany bagitahu akulah setelah sekian lama. Sejujurnya untuk mesej Apis yang kedua itu aku sebenarnya kurang faham. Apakah maksudnya. Apa kaitan kabus tadi dengan benda itu dah nak menunjukkan dirinya yang sebenar. Sebab apa yang aku lihat cumalah gugusan kabus.
Sejurus selepas itu, tiba-tiba si Apis berpesan kepada aku. Apis minta untuk aku alihkan periuk ayam tadi di sebelah kiri. Aku pelik. Kenapa pulak nak kena dialihkan. Aku sedikit mushkil dan tertanya-tanya. Tiba-tiba Wany menambah. Wany cakap risau tumpah. Aku lagilah pelik dengan alasan tersebut. Aku pun dengan keyakinan yang mendalam dan tinggi, aku menjawab, jika risau tumpah baik aku je yang beralih tempat. Dari duduk sebelah kiri berpindah duduk ke sebelah kanan. Aku pun beralih tempat duduk ke kanan yang mana aku sekarang duduk di belakang Apis dan secara tak langsung aku sendiri yang semakin rapat dengan benda tersebut. (kalaulah aku tahu ketika ini jangan harap aku nak tukar posisi kedudukan aku).
Selepas itu, seingat aku Apis secara ironinya seolah-olah memarahi aku. Apis bertegas meminta aku untuk beralih semula kedudukan aku ke sebelah kiri. Dan…dan ketika ini aku mula perasan sesuatu yang tidak kena antara Apis dan Wany. Aku macam mula sedar akan drama-drama mereka. Mendengar kepada arahan Apis kepada aku sebentar tadi, aku dapat mengagak ada sesuatu yang tidak kena. Seolah-olah ada sesuatu berhampiran aku. Dengan ayat yang lebih jelas di sebelah kanan sisi kereta. Aku bingkas memulakan langkah untuk beralih kedudukan sambil memberi respon sebagai tanda yang aku sudah faham. Aku cakap pada Wany dan Apis, kenapa bau ayam ni kuat sangat ke?
Wany mengiyakan respon aku. Aku terus duduk di sebelah kiri kembali dan memang tiada harapan langsung untuk aku menoleh ke sebelah kanan bahagian belakang.
Tidak lama kemudian azan subuh berkumandang di radio. Apis secara tiba-tiba menguatkan volume suara radio dan membuka tingkap belakang sebelah kanan kereta sambil memohon maaf kerana terpaksa membuka tingkap tersebut. Tujuan Apis membuka tingkap tersebut adalah supaya laungan azan dapat didengari sehingga ke luar. Dan apabila Apis membuka tingkap tersebut tentunya aku sedikit sejuk dengan angin luar yang masuk. Namun aku faham akan keadaan itu dan cuba berlagak tenang. Risau juga.. Buatnya buka tingkap tetiba ada benda masuk. Mau meraung aku sorang-sorang kat belakang. Namun tidak lama selepas itu, benda itu berlalu pergi
Selepas kejadian itu, aku difahamkan benda yang ikut kami pada malam tersebut adalah benda yang seakan-akan kain yang sedang terbang ditiup oleh angin. Si Apis memberitahu aku pada mulanya dia nampak macam kain…kemudian nampak ada muka yang seolah-olah mengintai aku. Mukanya tidak jelas. Cuma nampak mata kemerahan. Aduh takut pulak aku. Kenapa kau nak tengok aku. Ramai lagi kot org lain kau boleh tengok. Aku tidak pasti benda apa yang ikut kami pada malam tersebut. Pada firasat aku mungkin langsuir.
Kenapa dia ikut kami, itu pun aku tidak tahu sebabnya. Ada juga berfikir mungkin kerana ayam yang kami bawa masih ada kesan darah (tapi rasanya ayam-ayam itu sudah dibersihkan sebaiknya). Atau mungkin kerana benda tu dapat tahu kami buka cerita pasal mereka pada malam itu. Wallahualam. Apa yang pasti kepada mereka yang ingin berjalan jauh sentiasa banyak-banyakkan doa. Jaga percakapan terutama ketika memandu di tempat-tempat yang agak terasing dan gelap. Sentiasa fokus ketika memandu dan jangan cepat panik ketika diusik. Sehingga berjumpa lagi. In shaa Allah.

No comments:

Loading...