Header AD

"Saya Di Boo Remaja Berbasikal"

loading...
loading...
"Saya Di Boo Remaja Berbasikal"

JOHOR BAHRU: Penduduk setempat di Jalan Lingkaran Dalam berkata hanya kemalangan maut dapat menginsafkan remaja “pelumba basikal” haram pada waktu malam, supaya aktiviti berbahaya yang berlangsung sejak bertahun-tahun lamanya itu, akhirnya dapat dihentikan.
Shamsir Firdaus, seorang pemandu Uber di sekitar Dataran Seri Gelam ketika menceritakan pengalamannya berdepan dengan kumpulan remaja basikal itu berkata, beliau sendiri pernah hampir terlanggar mereka kerana sesuka hati menggunakan jalan kereta sebagai laluan berbasikal.
“Saya pernah juga nyaris nak langgar mereka, sampai saya marah dan suruh mereka balik. Cuba bayangkan jika mereka ini anak kita. Mesti kita marah sebab keluar lewat malam dan berlumba basikal pula.
“Tetapi saya pula kena ‘boo’ balik. Remaja sekarang tak takut dengan kita orang dewasa,” katanya kepada FMT ketika ditemui di kawasan Jalan Lingkaran Dalam, di sini malam tadi.
Katanya, kumpulan remaja terbabit akan berlumba basikal dan tidak menghiraukan sesiapa pun yang memarahi mereka.
“Mereka tak takut polis, dan remaja ini sudah lali dikejar, ditangkap dan dirampas basikal. Bagi saya bagus jadi macam ini, jadi pengajaran kepada remaja lain. Selagi belum jadi sesuatu mereka tidak akan hirau.
“Bila jadi sesuatu macam ini baru sedar. Sejak dulu lagi memang macam ini. Aktiviti remaja berbasikal pada lewat malam ini berlaku sejak 10 tahun lalu lagi, malah sudah jadi ‘trend’,” katanya kepada FMT ketika ditemui di kawasan Jalan Lingkaran Dalam.
Helmi Abdul Jalil, pekerja di KFC berhampiran tempat kejadian berkata sebelum ini ada satu kemalangan membabitkan remaja berbasikal lewat malam sehingga menyebabkan dahi koyak.


“Pernah ada kemalangan dekat lampu isyarat di Jalan Lingkaran Dalam. Remaja berbasikal itu langgar sebuah kereta sehingga dahinya koyak. Kemalangan itu berlaku pada awal Januari sebelum cuti akhir tahun sekolah berakhir.
“Tetapi, malangnya mereka tetap tidak insaf, setiap minggu berkumpul di sini dan naik basikal yang diubahsuai. Basikal mereka pelik, ‘handle’ tidak ada di bahagian atas, tetapi bertukar ke bawah.
“Kena kejar polis sudah macam mainan mereka. Bila polis datang, mereka lari dan sorok. Bila polis pergi, mereka datang balik di Jalan Lingkaran Dalam ini dan sambung semula aktiviti mereka,” katanya.
Dalam kejadian awal pagi Sabtu lalu di Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, berlaku kemalangan ngeri apabila sebuah kereta merempuh sekumpulan 30 penunggang basikal, yang semuanya remaja berumur 13 dan 17 tahun.
Enam antara mereka maut di tempat kejadian, manakala 2 lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Aminah, yang jaraknya kurang 5km dari lokasi kejadian. Setakat ini, 2 lagi dalam keadaan kritikal manakala 6 yang lain cedera.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata dalam kejadian 3 pagi itu, kumpulan remaja berbasikal dipercayai menghalang Jalan Lingkaran Dalam dan jalan sekitar sebelum dirempuh seorang pemandu wanita berusia 22 tahun.
Shamsir berkata malam minggu dan musim cuti sekolah menjadi waktu kemuncak untuk mereka berkumpul dan melakukan aktiviti berlumba basikal di Jalan Lingkaran Dalam.
“Biasanya, mereka akan berkumpul dari jam 12 tengah malam hingga 6 pagi dengan menunggang basikal yang diubah suai dan berkumpul di Dataran Seri Gelam.
“Mereka ini kebanyakannya datang dari luar kawasan pusat bandar raya. Ada yang datang sejauh dari Permas Jaya, Taman Desa Mutiara, Kempas dan Skudai.
“Sepanjang perjalanan mereka mengayuh basikal itu, mereka akan melalui kawasan lebuh raya. Dan lebih bahaya ialah mereka tidak memakai peralatan keselamatan langsung untuk berkayuh hingga ke Dataran Seri Gelam,” katanya.
Wujudkan undang-undang baharu
Shamsir berkata kerajaan negeri Johor perlu mewujudkan satu undang-undang yang lebih tegas dengan mengehadkan remaja untuk tidak keluar rumah selepas jam 12 tengah malam.
“Jadi jika kejadian seperti ini berlaku, tindakan boleh dikenakan kepada ibu bapa remaja yang bersalah. Ini kerana mereka membiarkan anak mereka keluar sehingga lewat malam.
“Remaja sekarang tahu apa. Mereka tahu seronok saja. Kerajaan negeri perlu kenakan denda. Ibu bapa perlu didenda,” katanya.
Jangan Lupa Like Page Ini Untuk Mendapatkan Segala Berita Yang Paling Terkini!!
"Saya Di Boo Remaja Berbasikal" "Saya Di Boo Remaja Berbasikal" Reviewed by kak tie on 12:19:00 PTG Rating: 5

Tiada ulasan