Hajat Che Tom temui Azwan tidak kesampaian | KUALA LUMPUR - “Saya sedih bagi pihak ibu kerana hajat untuk lihat semua anak-anaknya sebelum pergi, tidak kesampaian kerana Azwan tidak ada,” demikian menurut Ummi Hafilda Ali, adik kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ummi berkata, sepanjang lebih empat bulan menderita angin ahmar, arwah ibunya berhajat untuk menemui semua anak-anaknya namun tidak terlaksana.

“Sebagai ibu dia nak tengok semua anak dia, tapi satu saja Azwan tidak hadir, itu yang ralat sangat."

“Saya sedih bagi pihak ibu. Sebagai ibu dia tetap sayang anaknya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, di sini.

Namun katanya, dia bersyukur kerana ahli keluarga lain berada di samping ibunya ketika menghembuskan nafas terakhir.

Hajat Che Tom temui Azwan tidak kesampaian

“Saya menemani ibu sejak dia sakit. Setiap malam saya bersama dan sejak dua bulan lepas dia sedarkan diri, keadaannya bertambah baik dan masih boleh bergelak tawa dengan kami."

“Tetapi apabila dia penyakitnya menyerang minggu lalu, dia sudah tidak sedarkan diri,” katanya.

Dalam pada itu, Ummi berkata, seminggu sebelum terjatuh dan terlantar sakit pada tahun lalu, ibunya menunjukkan tanda-tanda mahu pergi.

“Saya akan tidur rumah ibu setiap hujung minggu, namun pada hari Isnin minggu itu saya mahu balik tetapi dia tahan, sehingga hari kelima juga begitu."

"Selalunya saya nak balik dia tidak kisah. Saya janji untuk datang balik pada hari ke enam namun terkilan kerana hari itu dia terjatuh."

“Namun sepanjang lima hari itu, setiap hari pagi petang siang malam ibu sebut dia mahu mati dan dia akan pergi,” katanya.

Hajat Che Tom temui Azwan tidak kesampaian

Ummi juga menyifatkan Allahyarhamah Che Tom merupakan seorang ibu yang hebat dan beriman kerana hidupnya hanya untuk akhirat.

“Ibu menghabiskan masanya dengan zikir, tahajud setiap malam...Dunianya hanya akhirat,” katanya