Header AD

Coretan Abdullah Munshi.....Benarkah Lelaki Terengganu Pemalas?

loading...
loading...
Coretan Abdullah Munshi.....Benarkah Lelaki Terengganu Pemalas?



PETALING JAYA — Benarkah lelaki Terengganu malas seperti digambarkan Abdullah Munshi dalam Kisah Pelayaran Abdullah sewaktu berkunjung ke sana pada 1838?



“Bermula, saya lihat hal orang-orang dalam negeri itu miskin belaka, lagi dengan kelakuan malas dan lalai sepanjang hari,” coretnya dalam karya besarnya itu.



“Maka perempuan-perempuan mereka itu bekerja dan berkedai dan menjaja dan membuat segala pekerjaan akan mencari kehidupan; tetapi laki-lakinya semuanya malas, dengan makan tidur dan membaiki senjata, itulah kerjanya orang yang dalam negeri itu.”



Pengarah filem Amir Muhammad, kini lebih dikenali sebagai penerbit buku Fixi, cuba merungkai persoalan itu menerusi dokumentari terbarunya Pelayaran ke Terengganu.



Bersama anak jati negeri itu Badrul Hisham Ismail, pengarah bersama filem terbarunya, Amir yang pertama kali menjejakkan kaki di negeri itu pada Disember 2015 melihat berbeza.



“Apa yang cuba kita sampaikan ini perspektif berbeza daripada hikayat tersebut,” katanya dalam sesi diskusi selepas tayangannya di Kota Damansara di sini baru-baru ini.



“Sebagai contoh ayat Munshi ada mengatakan tentang lelaki Terengganu pemalas, tidak suka bekerja, tetapi apabila buat pengembaraan, [kami] pergi ke pasar, semuanya dipenuhi lelaki.”







Amir Muhammad membincangkan ‘Pelayaran ke Terengganu’ selepas tayangan filem itu di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 13 Februari 2017. — Foto oleh Choo Choy May


Walau mengesan perbezaan kehidupan kini berbanding coretan Abdullah, beliau melihat catatan tokoh itu — dianggap karya pertama dalam bidang kewartawanan Melayu — masih lagi relevan.



“Ada yang berbeza, ada yang sama; kebanyakannya ada perbezaan tetapi ada yang sama, jadi terpulang kepada penonton untuk rasa sama ada berubah atau tidak,” kata Amir, 45, kepada ProjekMMO.



Beliau lebih senang jika dokumentari tersebut dapat mencetuskan perasaan ingin tahu penonton tentang sastera dan budaya sekeliling daripada hanya menelan sesuatu karya bulat-bulat.



“Kita hendak orang ada perasaan ingin tahu tentang kesusasteraan dan satu lagi tentang persekitaran. Sekiranya seseorang itu terjentik ingin mengetahui lebih lanjut atau berjaya dengar pandangan yang mereka tidak dengar sebelum ini, pada saya itu sudah cukup OK.



“Saya tidak minat untuk brainwash orang agar mempercayai sesuatu, ia [dokumentari] lebih kepada [usaha] menjentik,” kata Amir lagi.



Pernah dilanda kontroversi melalui Lelaki Komunis Terakhir, filemnya Apa Khabar Orang Kampung, juga tentang gerila komunis, diharamkan di Malaysia pada 2007.



Karya pertamanya selepas menyepi daripada dunia perfileman sejak 2009, Pelayaran ke Terengganu, sepanjang 62 minit, pernah ditayangkan di festival filem Singapura dan Jogjakarta.



Walau idea pembikinan karya ini secara “kebetulan,” Amir berada di Terengganu selama dua minggu selepas menyedari ia satu-satunya negeri yang belum pernah dilawatinya.



Selain itu, karya Abdullah yang mengkritik Terengganu waktu itu, termasuk sistem beraja, semacam terus melekat dalam ingatannya kerana kesinisan coretannya.



Amir, pengarah Susuk pada 2008, mengakui lebih senang menghasilkan dokumentari seperti ini berbanding filem kerana mengalami kesukaran berkomunikasi dengan pelakon.



Apatah lagi jika sesuatu proses pembikinan filem itu dapat diusahakan dengan santai.



“Perasaannya [di Terengganu] seronok sebab saya tidak suka bekerja terlalu keras, kena ada pasukan yang santai, dalam suasana macam itu boleh terhasil [karya]. Ia kena ringan, kalau terlalu berat, saya tidak minat,” katanya. – MalayMail

Jangan Lupa Like Page Ini Untuk Mendapatkan Segala Berita Yang Paling Terkini!!
Coretan Abdullah Munshi.....Benarkah Lelaki Terengganu Pemalas? Coretan Abdullah Munshi.....Benarkah Lelaki Terengganu Pemalas? Reviewed by kak tie on 4:55:00 PTG Rating: 5

Tiada ulasan